Dalam sekawan lembu, kita sering melihat akan ada seekor lembu yang bertindak seolah-olah sebagai ketua kepada lembu-lembu itu. Namun hakikat yang ada pada lembu tersebut, tiadalah yang lain kecuali kemahiran mengawal lembu-lembu lain semata-mata untuk menawan lembu-lembu betina. Ada persamaan antara haiwan dan manusia di sini, kerana Aristotle menamakan manusia sebagai ‘political animal’.
Demikian juga, menjadi satu lumrah dalam sekelompok manusia, akan ada seorang manusia yang merasakan dirinya seolah-olah dirinya sentiasa berada di hadapan dalam kepimpinan. Dalam mesyuarat, ia akan berpidato walaupun tidak relevan. Dalam perhimpunan, ia akan berkata-kata walaupun tidak bernas. Di sinilah tertonjol sifat kejinya apabila bercakap berdegar-degar mengatasi boss di sebelah. Si pemerhati lain terpaksa melihat dengan penuh kepedihan mata dan si pendengar tiada pilihan kecuali mendengar walaupun bernanah telinganya mendengar ceramahnya. Di belakang, kedua-duanya iaitu sang pemerhati dan sang pendengar mengomel: ‘sedarlah wahai si pemimpin kecil, kau berlagak lebih kuah dari nasi’.
Decree
Ironinya, individu seperti ini biasanya menggunakan segala kesempatan yang ada untuk kepentingan diri dan kroninya. Kata-kata yang asalnya bersifat pandangan peribadi didecreekan hingga menjadi satu peraturan yang perlu dipatuhi oleh sebuah organisasi. Maka tidak hairanlah individu demikian sentiasa berpandangan hanya pendapatnya sahaja yang betul. Pandangan orang lain diperlekehkan. Apatah lagi orang berdiri di luar organisasinya. Di otaknya sentiasa berlegar halusinasi bahawa orang lain sentiasa mempunyai niat jahat untuk menyerang peribadinya atau menjatuhkan organisasi pimpinannya. Dalam hal ini, ia berwatak seperti James Bond berbisik kepada boss: “Orang ini perlu dilihat sedikit”. Maksudnya, “Boss kena percaya cakap saya”.
Satu sifat pemimpin seperti ini ialah menggunakan ‘kuasa sementara’ yang dimiliknya untuk memecat sesiapa sahaja yang tidak sebulu dengannya. Namun proses pemecatan diperlakukan dengan bahasa yang paling diplomatik seperti: ingin berkongsi beban, demi mengukuhkan organisasi, khidmat dipindahkan, untuk manfaat bersama dan sebagainya. Biasanya, ia menganggap mangsa kerakusannya adalah bebal sehingga seacra sukarela boleh menerima alasan yang dijangkakannya ‘munasabah’. Tetapi tidak semua manusia boleh digula-gulakan dengan kata-kata. Tidakkah Aristotle juga memerihalkan manusia sebagai ‘haiwan yang berfikir (al-insan hayawan natiq)?
Sudah lumrah kepada pemimpin seperti ini, segala tindakannya mempunyai maksud jangka panjang. Selepas pemecatan berlaku, tindakan seterusnya adalah menggantikan kroni-kroninya di tempat yang ditinggalkan itu. Yang tidak paling dilupakan memasukkan dirinya sendiri ke dalam senarai yang baru. Tetapi dalam kebanyakan kes, si kroni bukanlah manusia mempunyai otak kelas A atau ilmu yang mantap. Sebaliknya kroni ini mempunyai kemahiran tinggi melakukan aktiviti ‘ampu sana dan ampu sini’.
Hipokrit
Pemimpin kecil seperti ini biasanya bersifat hipokrit. Telunjukknya lurus, kelingkingnya berkait. Di hadapan musuh tangan dihulurkan bagi mengemaskan salam, tetapi di hatnya tertusuk dendan kesumat. Dalam hal ini, wajarlah, insan bestari pandai membezakan antara penampilan zahir dan hakikat dalaman seoarang manusia mempunyai dua wajah (zu al-wajhain). Usah mudah terpersona pada kopiah, serban dan janggut. Orang itu belum tentu seorang pemimpin yang ikhlas dan berjuang untuk sebuah organisasi. Kita tentu pernah terkasima apabila melihat sebuah kereta yang dipamirkan dengan segala jenis, bentuk dan warna ayat al-Quran di cermin belakang sebuah kenderaan, tetapi pemanduanya mengenepikan peraturan jalanraya! Ma Sya Allah pemandunya dilihat mengenakan segala pakaian Islamik! Tetapi kereta dipandu seperti dirasuk syaitan. ASL.