Popular Posts

Thursday, May 10, 2012

SEMINAR ANTARABANGSA BUDAYA DAN PEMIKIRAN ISLAM: SRI LANKA-MALAYSIA



INTERNATIONAL SEMINAR ON ISLAMIC CULTURE AND THOUGHT:



SRI LANKA-MALAYSIA [ISICT-SRIMAS]

15-16 NOVEMBER 2012

 Faculty of Islamic Studies and Arabic Language
South Eastern University (SEUSL), Sri Lanka.


TEMA
Islam dan Pembangunan: Demi Kebaikan Masa Depan (Islam and Development: For A Better Future)

 LATAR BELAKANG
Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan salah sebuah pusat pengembangan pemikiran di Malaysia yang sentiasa bergiat aktif dan berpengalaman menganjurkan seminar peringkat antarabangsa. Antaranya The International Seminar on Muslim Theology and Philosophy di UKM (1996), Seminar Antarabangsa Agama dan Pembangunan di UNTAG Surabaya, Indonesia (2004), International Seminar on Islamic Thought di UKM (2004), Seminar Antarabangsa Budaya dan Pemikiran: China-Malaysia di Beijing, China (2005), Seminar Antarabangsa Budaya dan Pemikiran: Mesir-Malaysia di Kaherah, Mesir (2006), Seminar Antarabangsa Agama dan Pembangunan di IAIN Sunan Ampel, Surabaya, Indonesia (2007), Seminar Antarabangsa Agama dan Pembangunan III di UKM (2007), Seminar Antarabangsa Budaya dan Pemikiran: Jordan-Malaysia di Amman, Jordan (2007) dan International Seminar on Islamic Thought II, di UKM (2009).Sebagai penerusan kepada usaha Jabatan untuk menggilap hubungan keilmuan dan budaya Islam antara Indian Subcontinent dan Nusantara yang telah lama wujud sejak puluhan dekad, maka Jabatan Usuluddin dan Falsafah, UKM bercadang mengadakan Seminar Antarabangsa Budaya dan Pemikiran: Sri Lanka-Malaysia. Ini merupakan seminar julung kali (kali pertama) bagi Jabatan yang melibatkan anjuran bersama dengan pihak universiti dari Sri Lanka khususnya dengan Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab (Faculty of Islamic Studies and Arabic Language), South Eastern University of Sri Lanka  atau ringkasnya disebut SEUSL.

BAHASA
Seminar bersama ini hanya menggunakan perantaraan bahasa Inggeris atau Bahasa Arab semasa pembentangan kertaskerja dan diskusi. Walau bagaimanapun, kertaskerja bahasa Melayu turut diterima sebagai sisipan prosiding seminar bagi tujuan pemerkasaan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. Seminar akan dilakukan secara sesi selari berdasarkan tema yang akan ditetapkan nanti.

YURAN
Ahli Akademik Fakulti Pengajian Islam UKM = RM 350.00
Ahli akademik bukan Fakulti Pengajian Islam UKM = RM 450.00
*Semua bayaran Seminar hendaklah dimasukkan ke dalam Akaun Seminar Jabatan Usuluddin dan Falsafah CIMB: 12180006043-05-9.

KERTASKERJA
Kertaskerja seharusnya menepati tema dan boleh dimanfaatkan oleh para peserta kedua buah negara. Semua kertaskerja hendaklah menggunakan format Gaya UKM sepenuhnya. Kertaskerja hendaklah dihantar sebelum 15 September 2012 jika penulis ingin memasukkannya ke dalam prosiding seminar. Kelewatan daripada tarikh tersebut tidak akan dilayan. Kertaskerja hendaklah dihantar ke email aslong@ukm.my dan cc. zulazmi@yahoo.com

PENERBANGAN, PENGINAPAN DAN PERJALANAN
Dijangkakan penerbangan dari LCCT bermula jam 6.20 pagi pada 13 November 2012 dan pulang ke Malaysia dari Colombo International Airport pada 8.15 pagi 18 November 2012. Peserta boleh menguruskan sendiri urusan tersebut atau menghubungi urusetia Seminar atau terus ke Travel Agent: zaini@smarttraveltours.com hp. 0193492375

PROGRAM DI SRI LANKA
13/11/12: Colombo: Melawat Slave Island  Fort Sea (Daftar masuk hotel : 12.00 tengahari)Membeli belah (Daftar keluar hotel : 8.00 pagi). 
14/11/12: Kandy: Melawat Malay Military MosqueMarket SquareMuslim ShineUpper Lake DriveGem Museum. Singgah di Kalamunai
15/11/12: Oluvil: Seminar ISICT-SRIMASBermalam di Oluvil.
16/11/12: (Bertolak ke Colombo: 12.00 tengahari)(Daftar keluar hotel: 8.00 pagi)Bersiar-siar di sekitar Oluvil.
17/11/12: Colombo: (Dijangka sampai Colombo: 5.00 petang)Membeli belah barangan pakaianMembeli belah barangan batu permataBermalam di Colombo.
18/11/12: (Daftar keluar hotel: 5.30 pagi)(Bertolak ke Malaysia: 8.15 pagi).

*Semua program tertakluk kepada pindaan.




Monday, March 21, 2011

APABILA PEMIMPIN KECIL MENUNJUK TARING

Dalam sekawan lembu, kita sering melihat akan ada seekor lembu yang bertindak seolah-olah sebagai ketua kepada lembu-lembu itu. Namun hakikat yang ada pada lembu tersebut, tiadalah yang lain kecuali kemahiran mengawal lembu-lembu lain semata-mata untuk menawan lembu-lembu betina. Ada persamaan antara haiwan dan manusia di sini, kerana Aristotle menamakan manusia sebagai ‘political animal’.

Demikian juga, menjadi satu lumrah dalam sekelompok manusia, akan ada seorang manusia yang merasakan dirinya seolah-olah dirinya sentiasa berada di hadapan dalam kepimpinan. Dalam mesyuarat, ia akan berpidato walaupun tidak relevan. Dalam perhimpunan, ia akan berkata-kata walaupun tidak bernas. Di sinilah tertonjol sifat kejinya apabila bercakap berdegar-degar mengatasi boss di sebelah. Si pemerhati lain terpaksa melihat dengan penuh kepedihan mata dan si pendengar tiada pilihan kecuali mendengar walaupun bernanah telinganya mendengar ceramahnya. Di belakang, kedua-duanya iaitu sang pemerhati dan sang pendengar mengomel: ‘sedarlah wahai si pemimpin kecil, kau berlagak lebih kuah dari nasi’.

Decree
Ironinya, individu seperti ini biasanya menggunakan segala kesempatan yang ada untuk kepentingan diri dan kroninya. Kata-kata yang asalnya bersifat pandangan peribadi didecreekan hingga menjadi satu peraturan yang perlu dipatuhi oleh sebuah organisasi. Maka tidak hairanlah individu demikian sentiasa berpandangan hanya pendapatnya sahaja yang betul. Pandangan orang lain diperlekehkan. Apatah lagi orang berdiri di luar organisasinya. Di otaknya sentiasa berlegar halusinasi bahawa orang lain sentiasa mempunyai niat jahat untuk menyerang peribadinya atau menjatuhkan organisasi pimpinannya. Dalam hal ini, ia berwatak seperti James Bond berbisik kepada boss: “Orang ini perlu dilihat sedikit”. Maksudnya, “Boss kena percaya cakap saya”.

Satu sifat pemimpin seperti ini ialah menggunakan ‘kuasa sementara’ yang dimiliknya untuk memecat sesiapa sahaja yang tidak sebulu dengannya. Namun proses pemecatan diperlakukan dengan bahasa yang paling diplomatik seperti: ingin berkongsi beban, demi mengukuhkan organisasi, khidmat dipindahkan, untuk manfaat bersama dan sebagainya. Biasanya, ia menganggap mangsa kerakusannya adalah bebal sehingga seacra sukarela boleh menerima alasan yang dijangkakannya ‘munasabah’. Tetapi tidak semua manusia boleh digula-gulakan dengan kata-kata. Tidakkah Aristotle juga memerihalkan manusia sebagai ‘haiwan yang berfikir (al-insan hayawan natiq)?

Sudah lumrah kepada pemimpin seperti ini, segala tindakannya mempunyai maksud jangka panjang. Selepas pemecatan berlaku, tindakan seterusnya adalah menggantikan kroni-kroninya di tempat yang ditinggalkan itu. Yang tidak paling dilupakan memasukkan dirinya sendiri ke dalam senarai yang baru. Tetapi dalam kebanyakan kes, si kroni bukanlah manusia mempunyai otak kelas A atau ilmu yang mantap. Sebaliknya kroni ini mempunyai kemahiran tinggi melakukan aktiviti ‘ampu sana dan ampu sini’.

Hipokrit
Pemimpin kecil seperti ini biasanya bersifat hipokrit. Telunjukknya lurus, kelingkingnya berkait. Di hadapan musuh tangan dihulurkan bagi mengemaskan salam, tetapi di hatnya tertusuk dendan kesumat. Dalam hal ini, wajarlah, insan bestari pandai membezakan antara penampilan zahir dan hakikat dalaman seoarang manusia mempunyai dua wajah (zu al-wajhain). Usah mudah terpersona pada kopiah, serban dan janggut. Orang itu belum tentu seorang pemimpin yang ikhlas dan berjuang untuk sebuah organisasi. Kita tentu pernah terkasima apabila melihat sebuah kereta yang dipamirkan dengan segala jenis, bentuk dan warna ayat al-Quran di cermin belakang sebuah kenderaan, tetapi pemanduanya mengenepikan peraturan jalanraya! Ma Sya Allah pemandunya dilihat mengenakan segala pakaian Islamik! Tetapi kereta dipandu seperti dirasuk syaitan. ASL.

Monday, February 28, 2011

GAGASAN SATU MALAYSIA: MANIFESTASI MASYARAKAT SIVIL MADINAH

Ada yang menganggap konsep 1Malaysia sebagai satu gagasan baru yang melanggar prinsip satu ummah dalam Islam. Ini kerana buat sekian lama kita diajar hanya ada satu konsep dalam Islam yang disyariatkan iaitu ‘Satu Ummah Satu Islam’.  Kepada golongan tradisionalis Islam, pengenalan gagasan ini seolah-olah mengiktiraf penganut agama lain ke dalam ruang lingkup satu ummah ini. Bagi golongan yang cenderung kepada nasionalis Melayu, gagasan 1Malaysia sebagai usaha secara halus menghakis ketuanan Melayu di negara Malaysia. Gagasan ini seolah-olah membuka ruang seluas-luasnya kepada semua bangsa tanpa mengira mereka pribumi atau sebaliknya.
Piagam Madinah

Dua pandangan ini perlu dirungkai bagi menghilangkan kekeliruan kalangan masyarakat. Tun Mahathir pernah menyebut gagasan 1Malaysia sebagai suatu gagasan yang kabur dan tidak difahami rakyat jelata. Jika diteliti menggunakan minda terbuka, gagasan 1Malaysia adalah manifestasi konsep satu ummah yang dituntut dalam Islam yang ditafsirkan dalam bentuk lebih luas dan kontemporari. Semasa mengasaskan negara Madinah, antara perkara asas yang dititikberatkan oleh Rasulullah ialah pembentukan satu negara bangsa (nation state) Madinah yang mengutamakan kesatuan rakyat dengan menghormati kepelbagaian agama dan bangsa. Piagam Madinah (Mithaq al-Madinah), mengiktiraf kewujudan dan peranan penganut agama Yahudi, Kristian dan Islam dalam sebuah negara baru. Antara hak yang diberikan dalam kontrak tersebut ialah kesemua warga mempunyai hak keselamatan, keadilan mendapat pembelaan dan kebebasan beragama selagi mana tidak mengancam keselamatan negara. Rasulullah saw. tidak memaksa penganut agama lain untuk memeluk Islam. Pemelukan penganut agama lain terhadap Islam adalah melalui kefahaman murni dan kerelaan diri terhasil daripada komunikasi yang baik dan proses sosialisasi yang memberikan teladan. Dalam Islam, iman yang dipaksa adalah dianggap terbatal atau tidak sah.

Rasulullah mengiktiraf kepelbagaan atau perbezaan sebagai satu nature manusia. Manusia tentunya berbeza dari aspek warna kulit, keturunan, anutan agama, latarbelakang pendidikan dan sebagainya. Perakuan ini dinyatakan Baginda ketika menyampaikan pada Khutbah Wida’ di Gunung Arafat. Rasulullah saw. mengisytiharkan tiada bangsa Arab lebih agung daripada bukan Arab, yang berkulit hitam ke atas kulit putih. Walaupun terdapat kepelbagaian aspek fizikal, budaya, latar belakang ekonomi, pendidikan dan sosial, Rasulullah saw. Menunjukkan teladan dalam sirahnya membentuk satu negara bangsa (nation state) di bawah Piagam Madinah tersebut. Ini bermakna Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib sedang berada dalam sunnah yang betul dalam mewujudkan satu ummah dalam sebuah negara berdasarkan peninggalan sunah yang dirintis Rasulullah saw. Pendekatan secara wasatiyyah (moderate) membina perpaduan sehingga boleh diterima oleh semua kaum dan penganut agama adalah pendekatan sebelumnya yang diterima oleh pelbagai penduduk Madinah atas jalan wasatiyyah ditunjukkan Peradna Menteri Madinah, Muhammad saw.

Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

Dalam gagasan 1Malaysia, slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan menjedi teras utama. Slogan yang menjadi praktis ini adalah selari dengan kehendak Islam yang sentiasa mengandingkan antara konsep niat dalam amalan dalam individu. Islam mengutamakan konsep perfect (kamil) dalam perlaksanaan amalan ataupun pencapaian. Oleh itu, dalam apa jua amalan dan akidah, terdapat penetapan Rukun tertentu dikenakan sebagai pra syarat aras sama ada sesuatu amalan atau kepercayaan sah atau sebaliknya. Sekiranya syarat tidak dipenuhi maka kualiti amalan dipertikaikan. Allah menyukai seseorang yang melakukan perbuatan yang dilaksanakan demi kecapaian yang sempurna. Konsep mengutamakan kualiti bukanlah sesuatu yang baru dalam Islam. Umat Islam sering diingatkan supaya melakukan amalan terbaik dan sempurna atau istilah semasa ‘kualiti’. Allah sendiri menjelaskan kerapian atau kesempurnaan dalam kejadian atau tindakan-Nya. Sebagai contoh dalam surah al-Naml ayat 88, firman Allah bermaksud: “Demikianlah perbuatan Allah yang telah membuat tiap-tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya”. Jika dirujuk kepada ayat ini, terdapat kalimah itqan yang bermaksud merancang dan menyusun sesuatu dengan baik sehingga terhasil produk atau output yang amat memuaskan. Allah akan memberikan ganjaran kepada mereka yang melakukan amalan terbaik. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Khaf ayat 30 yang bermaksud: “Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal salih, sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya”.

Namun dalam political spinning tuduhan dan tohmahan adalah menjadi lumrah dan asam garam kepada politikus atau para makmun politik yang tertutup mindanya. Perkara yang baik sekalipunpun boleh diputarbelit menjadi tidak baik. Warna yang biru boleh dikelabukan. Demikian yang terjadi kepada populariti 1Malaysia yang semakin mendapat tempat di hati rakyat. Pihak yang mempunyai kepentingan politik jangka panjang tentunya akan berusaha untuk mensirna populariti 1Malaysia. Tentu kita masih ingat bagaimana Dasar Pandang Ke Timur pada era Tun Mahathir Mohamad didakwa bertentangan dengan doktrin menghadap satu kiblah (Kaabah) di dalam Islam, manakala pengenalan Islam Hadhari pada era Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi dituduh sebagai pengenalan agama baru. Terkini gagasan 1Malaysia didakwa sebagai kompilasi secara halus pemerintah daripada konsep One Israel.

One Israel

Gagasan 1Malaysia sewajarnya dibezakan daripada konsep One Israel (Yisrael Ahat) yang dibentuk oleh Ehud Barak, pemimpin parti Buruh Israel dalam pilihanraya tahun 1999. One Israel mempunyai objektif untuk menjadikan parti Buruh (Labour Party) tersebut supaya lebih bersifat centrist dan mengurangkan sifat sekularnya bagi menarik sokongan pengundi. Selama ini, pada  kebanyakan persepsi Yahudi, parti Buruh dilihat bersifat elitist, berfahaman kiri dan didominasi oleh kalangan sekular Yahudi (Ashkenazi). Ia menjadi stigma kepada kebanyakan keturunan Yahudi dari Afrika Utara (Sephardi) dan kalangan agamawan Yahudi. Secara realitinya, One Israel adalah pengubahsuaian daripada idea Perdana Menteri Brirtish, Tony Blair yang melakukan transformasi terhadap parti Buruhnya kepada satu imej baru atas nama New Labour. Sebenarnya, konsep One Israel tersebut adalah satu transformasi penjenamaan semula parti Buruh dariapada dilihat begitu sekular kepada lebih bersifat keagamaan. Apabila unsur keagamaan diutamakan, sudah tentunya konsep bangsa Israel sebagai the Chosen People of God direalisasikan. Bangsa-bangsa lain selain daripada kaum Yahudi, dianggap sebagai hamba. Matlamat terakhir konsep ini adalah penubuhan negara Zionis yang mutlak, negara Yahudi untuk bangsa Yahudi.

Persoalannya, adakah proses, ciri dan matlamat yang ada pada One Israel menyamai dengan gagasan 1Malaysia? Adakah konsep 1Malaysia bertujuan menjadikan hanya bangsa Melayu sebagai bangsa pilihan Tuhan? Adakah bumi Malaysia hanya untuk bangsa Melayu? Adakah bangsa lain ternafi akan hak dan kerakyatan mereka? Adakah salah jika sesuatu gagasan yang murni yang mengutamakan rakyat dan pencapaian yang kamil dilaksanakan untuk kepentingan agama, bangsa dan negara? ASL.

Friday, February 11, 2011

NASIONALISME MELAYU: UNISLAMIK


Itulah ungkapan populist Islam yang tidak pernah padam dalam membicarakan politik Islam tanahair. Isu ini tidak pernah sirna dari pertikaian golongan tradisionalis Islam. Nasionalisme persepsi sebagai tidak Islamik kerana perkataan ‘nasional’ dikaitkan dengan kebangsaan. Kalimah kebangsaan disifatkan membawa elemen cintakan bangsa, asabiyyah, penindasan dan perkauman melebihi cintakan agama yang sepatutnya menjadi dokongan utama. Akhirnya difalasikan secara mudah nasionalisme Melayu adalah haram dan wajib dibelakangi. Seringkali dalam penghujahan pegangan, sabda Rasul dan logik akal dijadikan sandaran. Namun hasrat tersirat daripada momokan tersebut adalah, mana-mana parti yang diasaskan dengan semangat kebangsaan atau memperjuangkan kepentingan bangsa dikatakan parti asabiyyah yang wajib dijauhi. Bagi mengukuhkan dakwaan, maka dibawa keburukan dan kerapuhan semangat nasionalisme Barat dan kerakusan semangat nasionalisme di sesetengah negara Arab. Di tanahair tercinta, maka tersemburlah fatwa-fatwa dari mahaguru politik bahawa sesiapa jua yang mengundi parti beracuankan nasionalisme pengakhirannya adalah di Neraka. Akhirnya, ia berakartunjang ke dalam masyarakat sehingga menjadi satu fatwa politik yang digeruni untuk disanggah. Maka muncullah ubat depresi politik: “Ayuh berpalinglah kepada parti yang Islamik menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat, tinggalkanlah parti nasionalisme Melayu itu yang unIslamik!”.

Benarkan fahaman demikian? Sebenarnya hal ini telah diperjelaskan secara ditil oleh Allahyarham Dr. Burhanuddin Helmi melalui karyanya Falsafah Kebangsaan Melayu (1980). Antaranya beliau mengungkapkan: “Kita hendak mendirikan negara kebangsaan Melayu di atas dasar kebangsaan, menurut keadilan dan kemanusiaan yang luas sama berhak dan adil, bukan sekali-kali kebangsaan yang sempit, jauh, sejauh-jauhnya dari berbau perkauman dan perasaan yang kolot dan kuno”. Beliau langsung tidak menyempitkan Nasionalisme Melayu sebagai  asabiyyah yang diharamkan. Pencinta ilmu pasti terkasima setelah meneliti kajian Ibn Khaldun melalui magnum opusnya Muqaddimah yang menyebut asabiyyah adalah elemen semulajadi yang ada dalam mana-mana bangsa yang telah disemaikan oleh Allah ke dalam diri manusia. Memang menjadi sikap semulajadi bangsa dunia mempunyai rasa bangga, rasa sayang dan rasa hebat dengan bangsanya sendiri.

DEB: Dasar Asabiyyah

Persoalannya: Adakah merangka dan melaksanakan dasar untuk menolong sesuatu kaum bernama Melayu dan beragama Islam bagi meningkatkan taraf hidup dan pemikiran mereka dianggap asabiyyah terlarang? Dalam konteks Malaysia, adakah pembentukan Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah polisi asabiyyah? Adakah parti yang menolong bangsa yang dalam kedaifan yang pada masa yang sama memanfaatkan kaum lain juga adalah parti yang asabiyyah? Terfikirkah sebahagian manusia bahawa ia sesungguhnya telah menepati kaedah saddu al-zarai’ yang bertujuan menghalang gejala murtad akibat dari kefakiran. Di negara-negara majoriti umat Islam, telah berlaku pembelian akidah akibat kefakiran harta yang akhirnya membawa kepada kefakiran iman. Jujurkah kita menghukum sesuatu sebagai asabiyyah dan bidaah semata-mata kerana kita menyarung jubah berlainan warna? Sudahkah kita menyelongkari sirah dan sikap Rasulullah terhadap bangsa Quraish? Rasulullah pernah meletakkan syarat bangsa Quraish sebagai salah satu syarat penting perlantikan pemimpin –adakah ini bermakna Rasulullah telah berfahaman nasionalis Arab? Rasulullah sendiri menyatakan bukanlah sesuatu yang asabiyyah jika sesuatu bangsa itu menolong bangsanya sehingga tidak menganiayai bangsa lain. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Dawud diungkapkan: “ Apa dia `asabiyyah? Sabda Baginda: bahawa kamu menolong kaum kamu atas dasar zalim”.

Rupabentuk Nasionalisme Melayu

Nasionalisme Melayu adalah unik. Ia adalah adunan antara jati diri Melayu yang bangga dengan kemelayuannya dengan unsur-unsur keislaman dalam diri individu. Sekuat mana  semangat nasionalismenya, ia tidak mengkesampingkan jiwa dan jati diri Islamnya. Jika ia pergi jauh dengan semangat kemelayuaanya, ia akan kembali dengan baju akidah Islamnya. Hal ini dapat diperhatikan oleh penulis ketika meneliti diaspora  minoriti Melayu termasuk di Cape Town, Sri Lanka dan Suriname. Dapatan umum menunjukkan bangsa Melayu tetap rasa hebat dengan identiti kemelayuannya pada masa yang sama beragama Islam. Perasaan nasionalisme Melayunya tidak diterjemahkan kepada tindakan terkutuk untuk berlaku zalim terhadap kaum lain. Islam adalah agama yang selamat untuk kaum lain. Dari aspek sejarahnya, mungkin kerana kengaman anatara Melayu dan Islam, maka Islam mudah berkembang di bumi Tanah Melayu.
Politik: Art of Spinning

Demi mencapai hasrat politik, ada sesetengah Melayu cuba menafikan realiti. Ada yang sanggup menikam Melayu, sebaliknya memberikan nyawa kepada kaum bukan sejenisnya demi survival politik jangka pendek. Apabila bersama-sama kaumnya, mereka mendakwa kamilah pejuang bangsa ini dan anda terus survived di bumi ini. Sebaliknya apabila berada dengan kaum lain, kami akan hapuskan dasar-dasar yang memihak kepada satu kaum termasuk kaum Melayu. Bahkan ada yang sanggup bersengkongkol dengan Badut Tua di sebuah Pulau Bersih yang mencanangkan darjah keIslaman Melayu dikurangkan ke tahap paling minimun supaya hanya mempraktikkan ritual Islam. Berfatwalah Sang Sunan bahawa pendapat tersebut adalah lebih mulia berbanding semangat nasionalisme Melayu. Di sini seharusnya, kumpulan massa mempunyai seni membezakan antara yang benar dengan yang batil. Mereka juga sewajarnya memiliki kemahiran perbandingan antara ulama hakiki dan ulama politik atau agamawan realiti dan agamawan politik. Antara perkongsian ciri yang terserlah pada ulamak politik dengan agamawan politik ialah kedua-duanya mempunyai kemahiran art of spinnning. Kemahiran ini biasanya digunakan untuk memutarbelitkan fakta atau ayat dan hadis bagi mencapai maksud politik. Walaupun kerap kali bertukar menjadi sesumpah, kata-kata mereka dipercayai sebagai benar. Namun harus diingat politik sesumpah hasil kemahiran art of spinning ini membawa implikasi mudarat kepada umat Melayu, Islam dan negara. Akibat putar belit, ia membawa padah perpecahan dan permusuhan antara Melayu yang akhirnya kemusnahan kepada negara. Kita pernah melihat rentetan siri perceraian dan perpecahan antara keluarga Islam yang berkiblatkan yang satu dengan peristiwa sembahyang dua imam, dua kuburan, pemulauan perkahwinan dan pengharaman sembelihan sebelum ini. Fenomena ini masih diiizinkan atas maslahat politik. Yang menghairankan, mereka menghulur tangan dan berdakapan dengan musuh Islam yang terang-terangan mengisytiharkan: “Cross my dead body” terlebih dahulu sebelum tersergam sebuah negara Islam. Mutakhir ini, sebahagian umat Islam seolah-olah menghadapi sindrom Islamic political hallucinations dengan mempercayai adanya Rukun Iman ketujuh iaitu berpegang kepada fahaman politik. ASL

Tuesday, November 30, 2010

MELAYU ANEH PASCA REFORMASI

Melayu Michiavelist
“Kita harus mengamalkan dasar terbuka. Tiada istilah MELAYU. Semua kita rakyat Malaysia. Harus mendapat hak yang sama. Itulah liberalisasi politik”. Atau “Bersama-sama kita hapuskan ketuanan Melayu, kerana ia menjengkelkan”. Itulah nyanyian baru politikus Melayu kontemporari. Sebelum tahun 1990an senikatanya agak berlainan tetapi iramanya sama: “Jangan bercakap tentang bangsa Melayu. Jangan berjuang atas nama Melayu kerana itu adalah asabiyyah. Hukumnya adalah haram dalam Islam”. Nampak seperti berlainan tetapi maksud yang sama. Penyanyi berlainan memakai kostum berlainan warna menyanyikan lagu yang sama. Kedua-duanya adalah pengamal Michiavelisme, iaitu matlamat (berjaya politik) menghalalkan cara (berpolitik). Aneh tetapi benar, penyanyi kepada lagu-lagu ini adalah bangsa Melayu itu sendiri. Si penonton atau pendengarnya adalah kawan sebelah yang tersenyum lebar sambil bertepuk tangan. Ewah-ewah. Eh, eh. Tepuk-tepuk. Lagu 'Hapus Ketuanan Melayu' mencapai top ten di kalangan peminat-peminat ini dan didendangkan di mana-mana sama ada di dalam atau di luar negara. Aduh . . .itu sahaja mampu diungkapkan.

TQ DEB?
Melayu yang marahkan Melayu ini sebenarnya sudah dihinggapi penyakit alpa. Mereka dihinggapi penyakit short memory. Mereka berada pada kedudukan lebih baik berbanding era sebelum kemerdekaan kerana dasar dicipta oleh bangsa Melayu untuk menolong Melayu. Cuba toleh sekejap ke negera jiran, apa sudah jadi Melayu di sana? Dasar Ekonomi Baru (DEB) digubal untuk menolong Melayu akibat daripada peristiwa 13 Mei 1969 apabila Melayu tertinggal dalam segenap bidang termasuk ekonomi dan pendidikan. Mendapat biasiswa menyambung pelajaran ke seberang laut sehingga kenal London, New York, dan Tokyo. Ada yang menjadi tokoh korporat, usahawan, menteri, wakil rakyat dan bla-bla. Bila sudah berada di menara kejayaan, individu-individu inilah yang menghentam DEB sebagai dasar kronisme dan kezaliman kepada kaum lain. Bahkan ada yang malu mengaku sebagai Melayu takut dikenali sebagai bangsa subsidi dan bertongkat dengan dasar-dasar asabiyyah. DEB dijadikan focal point tempat menghentam segala kekurangan, kezaliman dan kecurangan. Kita tidak nafikan DEB tidak berjaya sepenuhnya, tetapi bukanlah gagal seluruhnya. Apa salahnya para pejuang reformasi dan liberalisasi bersama-sama memperbaiki kelemahan dan ketirisan daripada mengorek segala kepincangan dan kelemahan.

Ciri  Aneh Melayu
Nah, kini kita lihat kelahiran satu generasi Melayu yang dihinggapi penyakit benci Melayu sebaliknya mahu menjadi insan politik liberal. Hasil observasi beberapa ciri baru Melayu pasca reformasi dikenalpasti: 1. Bersikap liberal dalam politik. Boleh menerima siapa sahaja menjadi ketua termasuk Menteri Perdana asalkan satu aliran dan satu ideologi. Sebagai langkah awal jawatan Timbalan Menteri Perdana dijanjikan kepada bukan Melayu ‘jika aku berkuasa’. 2. Biarkan non Muslim lintang pungkang mentafsir al-Quran dan hadis asalkan memihak kepada kita. Ini bukan sekali dua. Lain hulu lain parang –kalau dulu dulu wujud segelintir Melayu-Islam konservatif atau tradisionalist begitu sensitif dalam hal-hal agama dari diusik dengan begitu mudah. 3. Tidak sekali-kali bersatu sesama Melayu jika dilihat boleh menghalang cita-cita politik. Terasa selesa tidur sebantal dengan musuh sekalipun mimpi berlainan warna. 4. Bersikap terbuka dalam segenap hal hatta boleh mengenepikan seketika cita-cita asal perjuangan. Lupa seketika prinsip asas ukhuwwah dan cita-cita membina negara Islam. Sikap ini dijustifikasikan atas nama dakwah bil hal. 5. Sentiasa fobia dengan kumpulan atau organisasi yang berbeza pendapat dan pendekatan. Syak wasangka sentiasa bersarang di dalam kepala. Apa yang berlaku segalanya segala-galanya dianggap sebagai konspirasi. 6. Mempopularkan gelaran-gelaran yang manis dan menikam kalbu kepada insan tertentu. Maka muncullah gelaran 'Tuan Guru, Khalifah Umar Abdul Aziz dan Sang Anugerah Ilahi'. Jika ditubikan beribu kali anugerah demikian, maka ia akan bertugu di dalam kalbu si pengkagum insan -sekalipun gelaran-gelaran demikian berbeza sekali daripada realiti peribadi dan sejarah si pemakainya. Akhirnya tersemburlah generasi Pasca Reformasi yang aneh menggunakan segala kelebihan untuk mengumpat, memfitnah, mengorek-mengorek segala kelemahan dan disebarkan supaya diketahui semua insan. Mereka menjadi manusia fobia-konspirasi. Segala yang di luar jamaah atau organisasi ditakuti. Segala sesuatu, kejadian, peristiwa atau apa jua perkara diyakini konspirasi pihak musuh. Hasilnya, pada minda mereka terbukam empat hantu (idola) seperti yang disebut oleh Roger Bacon iaitu: idols of tribe, idols of cave, idols of market-place dan idols of theatre.

Thursday, November 25, 2010

MENULIS PROPOSAL PENYELIDIKAN



1. MAKSUD PROPOSAL PENYELIDIKAN
“A research proposal provides a preview of why a study will be undertaken and how it will be conducted. A research project is often required to get permission or necessary resources. Even when not required, a proposal is a useful device for planning.” (Earl Babbie, The Basics of Social Research 2002: 110)

Tujuan utama penyediaan proposal: Sebagai panduan dalam menjalankan penyelidikan bermula daripada mengenalpasti permasalahan kajian, menetapkan objektif yang ingin dicapai, pembentukan metodologi, pengumpulan data dan penganalisaan data serta sebagai kontrak antara penyelidik dengan agensi atau instusi yang mengarahkan menjalankan penyelidikan. Pemantauan perjalanan penyelidikan, tahap perlaksanaan dan bajet dilakukan berdasarkan proposal yang dipersetujui. Sebelum menulis proposal perkara paling asas yang perlu dimiliki oleh seorang penyelidik ialah maklumat-maklumat awal permasalahan penyelidikannya yang diperolehi melalui kajian literatur.

2. KANDUNGAN PROPOSAL PENYELIDIKAN
Sebuah proposal penyelidikan yang baik seharusnya mengandungi komponen-komponen berikut mengikut kesesuaian atau nature penyelidikan: Tajuk Kajian, Latarbelakang & Permasalahan Kajian, Matlamat Kajian, Objektif Kajian, Defenisi Operasi Kajian, Skop Kajian, Kerangka Teori, Metodologi Kajian, Literature Review, Carta Kajian, Rangka/Cadangan Laporan, Rujukan, Bajet & Lampiran.


3. TAJUK KAJIAN
Kajian dijalankan berdasarkan kepada tajuk yang diterokai daripada permasalahan yang ditemui. Tajuk kajian hendaklah menarik, tepat, bersifat deskriptif, ada nilai pasaran (marketable), berfaedah kepada instusi atau masyarakat. Dengan itu sewajarnya tajuk kajian memenuhi prinsip: “An informative but catchy title. An effective title not only pricks the reader's interest, but also predisposes him/her favourably towards the proposal”. Dalam menulis tajuk, perkataan seperti ‘kajian atau penyelidikan’ tidak perlu ditulis kerana sudah maklum proposal berkenaan adalah berkaitan penyelidikan atau kajian. Sebagai contoh: penyelidik tidak perlu menulis: ‘(Kajian) Keberkesanan Dakwah di Kalangan Masyarakat Orang Asli’.

4. PERMASALAHAN KAJIAN
Permasalahan Kajian adalah isu utama yang akan diterokai dan dirungkai dalam sesebuah penyelidikan. Ia seharusnya sesuatu yang baru, menarik dan menampakkan keperluan untuk dikaji. permasalahan dijumpai melalui pembacaan, perbincangan dan pengalaman.

5. MATLAMAT KAJIAN
Matlamat kajian adalah satu matlamat umum yangg ingin dicapai dalam sesebuah penyelidikan. Kebiasaannya ia ditulis berdasarkan kepada tajuk supaya dapat memberikan gambaran objektif umum yang dicapai oleh penyelidik. Ia dinyatakan dalam satu perenggan yang ringkas menggunakan satu ayat atau gabungan dua ayat. Sebagai contoh tajuk kajian: ‘Kefahaman & penerimaan non-Muslim terhadap Islam hadhari di Malaysia: kajian kes Lembah Klang’ ditulis dalam bentuk matlamat kajian dengan: Kajian ini bertujuan mengkaji tahap kefahaman dan penerimaan golongan non Muslim Lembah Klang terhadap konsep Islam hadhari.

6. OBJEKTIF KAJIAN
Dimaksudkan dengan Objektif Kajian ialah matlamat khusus yang hendak dicapai daripada penyelidikan. Objektif yang dirangka seharusnya mengambil kira tiga faktor: (i) kemampuan dan kepakaran penyelidik, (ii) kos pengendalian penyelidikan, dan (iii) jangkamasa penyelidikan. Penyelidik hendaklah bersikap realistik dalam merancang objektif kajiannya kerana berjaya atau gagalnya sesebuah penyelidikan diukur berdasarkan pencapaian objektif yang dirangka. Dengan demikian konsep SMART iaitu: Specific, Measurable, Achievable and action-oriented, Realistic, Time defined hendaklah diberi keutamaan semasa merangka objektif kajian. Kebiasaannya objektif kajian dirangka berdasarkan terminologi berikut yang menggambarkan metod dan hasrat penyelidik: Mengenalpasti . . . -Mencari hubungan . . . -Mengukur . . . -Mengkaji . . . -Menjelaskan . . .-Menganalisis . . .-Menilai . . .-Membandingkan . . .-Menentukan . . .-Membuktikan . . . -Menunjukkan . . .-Menghuraikan . . .-Merangka cadangan . . .-Mencadangkan . . .

7. DEFENISI OPERASI KAJIAN
Terminologi-terminologi yang signifikan kepada kajian perlu dijelaskan bagi memberikan gambaran yang jelas kepada pembaca atau penilai proposal ataupun bertujuan mengelak daripada disalah tafsir. Defenisi tidak perlu dirujuk kepada mana-mana kamus tetapi berdasarkan kepada operasi kajian yang berlaku. Dengan itu perkara yang remeh temeh dan tidak berkaitan dengan konteks kajian tidak perlu didefinisikan.

8. SKOP KAJIAN
Sebuah kajian yang baik hendaklah bersifat spesifik kepada skop permasalahan tertentu. Bagi mengelak kajian bersifat umum dan sukar dicapai, maka perkara-perkara berikut perlu dibataskan iaitu: i. Lokasi kajian terutama yang melibatkan kajian kes. Sebagai contoh fokus kajian kepada kawasan Lembah Klang bagi mengeluarkan lokasi lain yang tidak terlibat; ii. Kumpulan sasar populasi atau responden terpilih. Contohnya, skop kajian tertumpu kepada pegawai agama, masyarakat FELDA atau kalangan non-Muslim; Masa atau tempoh kajian. Sebagai contoh kajian dari bulan Jun hingga September 2008 sahaja, dan;iii. Subjek atau permasalahan kajian. Sebagai contoh kajian ditumpukan kepada isu penerimaan fatwa kalangan orang awam terhadap keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

9. KERANGKA TEORI
Akan dihuraikan dalam bahagian lain.


10. METOD KAJIAN
Metod atau kaedah kajian adalah jantung kepada sesebuah penyelidikan. Perkara ini perlu dijelaskan dengan sebaik mungkin kerana kegagalan menyediakan metod yang baik menyebabkan kegagalan pengumpulan dan penganalisaan data yang baik dan pencapaian objektif kajian. Dengan itu: The methods or procedures section is really the heart of the research proposal. The activities should be described with as much detail as possible, and the continuity between them should be apparent” (Wiersma 1995, 409). Dalam penulisan metod kajian beberapa perkara penting perlu dinyatakan seperti: Instrumen Kajian, Persampelan dan Analisis Data.

10.1 Instrumen Kajian
Terdapat pelbagai instrumen atau alat digunakan untuk memunggut data bergantung kepada kesesuaian atau nature kajian. Instrumen-instrumen tersebut seperti borang soalselidik (questionnaire), pemerhatian (observasi), temubual atau analisis dokumen. Sebagai contoh, kajian mengenai gejala sumbang mahram di kalangan masyarakat Islam mungkin menggunakan instrumen temubual dan soalselidik sahaja, sebaliknya kajian mengenai ajaran sesat menggabungkan instrumen pemerhatian, analisis dokumen dan temubual.

Soalselidik
Soalselidik hendaklah dirangka berdasarkan objektif kajian. Beberapa prinsip berikut perlu diutamakan semasa merangka soalselidik: (i) KISS (Keep it Short and Simple) –Setiap soalan dalam soalselidik sewajarnya ditulis secara ringkas mengandungi tidak lebih daripada dua ayat bagi mengelak keraguan dan kesamaran kepada responden; (ii) Memfokuskan satu subjek atau satu isu bagi satu soalan. (iii) Bertanya soalan dengan tepat. Jumlah, waktu, lokasi, kadar, angka perlu dinyatakan dengan jelas bagi mengelak kekeliruan kepada responden. Contohnya soalan: “Berapa kerapkah anda bersolat jamaah?” ditukar kepada: “Berapa kerapkah anda bersolat jamaah seminggu?”. (iv) Soalan sepatutnya dibina dalam bentuk positif. Bukannya secara negatif seperti: “Pengajaran al-Quran secara berkumpulan tidak sepatutnya dihapuskan” ditukar “Pengajaran al-Quran secara berkumpulan patut diteruskan”. Soalselidik dibina dengan menggunakan Font Arial 11, menarik (sama ada aspek kualiti kertas, design dan disusun secara struktur vertical), maksimun 10 halaman (125 soalan atau masa dijangka tidak melebihi 30 minit untuk responden menjawab) berserta dengan surat lampiran yang mengandungi maklumat agensi, tajuk kajian, pengenalan diri, objektif, permohonan kerjasama daripada responden, janji menyimpan rahsia dan ucapan terima kasih kepada responden. Janji menyimpan rahsia dan ucapan terima kasih hendaklah dinyatakan kali kedua selepas soalan terakhir. Bagi soalselidik yang menggunakan pendekatan pos responden, sampul surat bersetem berserta alamat peneylidik hendaklah disertakan.

Pemerhatian
Pemerhatian dilakukan ke atas tingkah laku, objek atau peristiwa. Ia dijalankan bagi mendapat gambaran sebenar atau secara langsung ke atas perkara-perkara tersebut. Beberapa persediaan awal perlu dilakukan sebelum pemerhatian sebenar dilakukan antaranya: (i) Mengenalpasti sejauh mana keperluan pemerhatian dalam penyelidikan; (ii) Memastikan lokasi atau objek pemerhatian; (iii) Persiapan instrumen pemerhatian; (iv) Pemilihan teknik pemerhatian terbaik; (v) Menjangka kekurangan atau kelemahan bakal dihadapi semasa pemerhatian, dan; (vi) Bersedia membentuk kerangka laporan berasaskan pemerhatian. Dalam pemerhatian, penyelidik seharusnya mengelak daripada berlakunya bias kerana tafsiran sendiri dan keduanya mengelak daripada fenomena Hawthorne Effect iaitu perubahan tingkahlaku seseorang atau kumpulan yang diperhati tidak natural kerana mereka sedar diperhatikan. Pemerhatian boleh direkodkan melalui: (i) mekanikal seperti kamera; (ii) chekcklist atau senarai perubahan objek, (iii) skala rating seperti Skala Likert, (iv) penjadualan bagi merekod perkembangan pemerhatian, serta; (v) one way screen di mana pemerhati sahaja yang melihat yang diperhati.
Bentuk Pemerhatian. Tiga bentuk pemerhatian boleh digunakan dalam penyelidikan: (i) Pemerhatian tanpa penyertaan tanpa kawalan. Dalam hal ini penyelidik bertindak sebagai orang luar memerhati dari jauh seperti meninjau sesuatu lokasi kajian dalam tempoh yang singkat. (ii) Pemerhatian dengan penyertaan tanpa kawalan, iaitu penyelidik menyertai kumpulan yang diperhati tanpa disedari kehadirannya. Sebagai contoh, penyelidik menyertai masyarakat Orang Asli bagi meneliti sikap kegamaan mereka, dan; (iii) Observasi dengan kawalan, iaitu pemerhatian dilakukan secara satu hala. Ini boleh dilakukan dengan memerhatikan tingkah laku kanak-kanak dalam sebuah kelas tanpa disedari mereka.

Temubual
Temubual dilakukan bagi mendapatkan maklumat secara langsung dan lebih mendalam mengenai sesuatu isu dalam penyelidikan. Ia dilakukan dengan mereka yang sangat signifikan dengan kajian. Dua bentuk temubual yang terlibat sama ada: (i) Temubual Berstruktur –yang dilakukan dengan soalan-soalan yang telah dirangka dengan ramalan-ramalan jawapan yang mungkin diberikan oleh responden. (ii) Temubual tidak Berstruktur –yang dilakukan dengan bentuk soalan yang bebas dan responden tidak dipandu dalam memberikan respon.
Bagi memastikan temubual betul-betul memberikan input yang baik, penemubual hendaklah: (i) memilih setting temubual sama ada dari aspek masa atau lokasi yang sesuai; (ii) membawa penampilan diri dengan baik serta demeanor, iaitu kehadirannya dapat diterima secara natural oleh responden; (iiii) Kemahiran melakukan acahan (probing) bagi mendapat maklumat atau keyakinan yang lebih dari responden terhadap respon yang diberikan. Tiga pendekatan temubual boleh dilakukan iaitu: (i) temubual bersemuka; (ii) temubual melalui telefon; atau (iii) perbincangan secara berkumpulan (focus group discussion) yang terdiri daripada 8-10 peserta.

Analisis Dokumen
Dokumen ditulis dalam pelbagai bentuk termasuk buku, rekod, nota, kitab dan sebagainya. Analisis terhadap bahan dokumen adalah perkara asas dalam menjalankan penyelidikan. Ia amat perlu dilakukan sama ada pada tahap mengenalpasti tajuk penyelidikan, permasalahan, metodologi dan sebagainya. Beberapa pendekatan perlu dilakukan semasa menganalisis dokumen: a. Meneliti isi kandungan sama ada ia menepati fakta, bersifat logik, mengandungi isi meragukan dan sebagainya; b. Menilai hujah dan kesahihan fakta dalam dokumen. Termasuk taraf hadis, ketepatan tafsiran al-Quran dan sumber rujukan; c. Membuat perbandingan antara beberapa dokumen, sumber rujukan dalam dokumen dan perbandingan karya penulis dokumen dengan penulis lain. Perbandingan dilakukan dalam dua aspek sama ada persamaan atau perbezaan, dan; d. Kritikan positif terhadap kekuatan atau kelemahan kandungan komen. e. membuat rumusan dan kesimpulan.


Persampelan
Persampelan adalah satu teknik atau prosedur pemilihan sampel daripada sekumpulan populasi (sekumpulan pelajar, pegawai agama, guru). Aspek persampelan penting dalam penyelidikan bagi memastikan kesimpulan yang dibuat daripada sampel benar-benar mewakili pandangan atau persepsi sejumlah populasi. Berdasarkan kepada kesesuaian dan kemudahan mendapatkan sampel, penyelidik boleh memilih sama ada (i) persampelan tanpa rawak (non probability sampling) seperti persampelan mudah, purposive, bola salji dan kuota atau; (ii) persampelan berawak (probabiliti sampling) seperti persampelan rawak mudah, rawak sistematik, rawak berlapis atau rawak berkelompok. Di samping itu, jumlah sampel yang dipilih dengan nisbah jumlah populasi juga perlu dinyatakan dengan jelas.

11. LITERATURE REVIEW
Sorotan ringkas (literature review) terhadap tulisan termasuk buku dan jurnal atau laporan kajian dalam bidang berkaitan penting bagi mendapat idea, metodologi yang sesuai, atau mengenalpasti kelemahan dan kekuatan penyelidikan-penyelidikan sebelumnya. Literature review atau kajian literatur juga memberi gambaran tahap pengetahuan penyelidik dalam penyelidikan yang bakal dilakukannya. Antara langkah yang perlu dilakukan dalam literature review: a. Membuat penilaian secara kritis terhadap literatur bidang kajian yang hampir sama (niche area). Hasil kajian atau penulisan terdahulu menjadi wahana dalam menghasilkan kajian terbaik setelah didapati kelemahan-kelemahan; b. Memastikan taraf dan bentuk penyelidikan sebelumnya. Kemungkinan penyelidikan sebelumnya hanya bersifat lokaliti tertentu boleh diperluaskan ke dalam wilayah yang lebih besar. Atau berkemungkinan penyelidikan sebelumnya mengabaikan aspek metod tertentu sepert hanya mementingkan pemerhatian hingga mengabaikan metod temubual; c. Meringkaskan literatur yang direview dan disusun dari lama kepada baru serta dari umum kepada khusus, dan; d. Berdasarkan kekuatan dan kelemahan kajian terdahulu, pada akhir review, nyatakan rasional kajian seterusnya patut dilakukan. Aspek ini akan memperlihatkan kekuatan, kepentingan dan kehebatan kajian yang sedang dirancang semestinya dilakukan. Beberapa persoalan-persoalan boleh ditimbulkan semasa menreview literatur bagi menghasilkan sebuah literature review yang baik: Apakah isu utama? Apakah pandangan politik? Apakah asas dan definisi kepada tajuk? Apakah masalah dan persoalan yang ditimbulkan hingga kini? Bagaimana maklumat disusun dan dibina? Apakas asas epestimologi kepada isu? Apakah kunci utama teori, konsep dan idea? Apakah sumber utama? Kajian Literature Review terhadap Tajuk Kajian


12. CARTA KERJA KAJIAN
Masa yang realistik adalah penting bagi mereka yang baru menjalankan penyelidikan, mereka yang telah berpengalaman atau penyelidik yang terikat dengan kontrak dan geran penyelidikan dengan sesebuah isntitusi. Dalam hal ini, carta kajian dinyatakan dalam dua bentuk iaitu: i. Carta Alir (Flow Chart). Carta yang menjelaskan aliran kerja penyelidikan dari awal hingga akhir termasuk daripada kajian literatur, pembentukan hipotesis dan pengujiannya, pengumpulan data, kerja-kerja di lapangan seperti pengedaran soalselidik, temubual, pemerhatian, penganalisaan data sehinggalah kepada aktiviti penyerahan laporan penyelidikan. (ii) Carta Gantt. Tujuan utama Carta Gantt adalah untuk merancang penyelidikan dan mengelak berlakunya pengulangan operasi penyelidikan. Berikut langkah membentuk Carta Gantt: i. Nyatakan langkah atau aktiviti akan dijalankan dinyatakan sebelah kiri; ii Masa yang dijangka yang bakal diliputi dalam kajian dicatat pada sebelah atas; iii. Graf bar disusun bagi menggambarkan titik permulaan dan titik akhir setiap aktiviti.