Popular Posts

Tuesday, November 30, 2010

MELAYU ANEH PASCA REFORMASI

Melayu Michiavelist
“Kita harus mengamalkan dasar terbuka. Tiada istilah MELAYU. Semua kita rakyat Malaysia. Harus mendapat hak yang sama. Itulah liberalisasi politik”. Atau “Bersama-sama kita hapuskan ketuanan Melayu, kerana ia menjengkelkan”. Itulah nyanyian baru politikus Melayu kontemporari. Sebelum tahun 1990an senikatanya agak berlainan tetapi iramanya sama: “Jangan bercakap tentang bangsa Melayu. Jangan berjuang atas nama Melayu kerana itu adalah asabiyyah. Hukumnya adalah haram dalam Islam”. Nampak seperti berlainan tetapi maksud yang sama. Penyanyi berlainan memakai kostum berlainan warna menyanyikan lagu yang sama. Kedua-duanya adalah pengamal Michiavelisme, iaitu matlamat (berjaya politik) menghalalkan cara (berpolitik). Aneh tetapi benar, penyanyi kepada lagu-lagu ini adalah bangsa Melayu itu sendiri. Si penonton atau pendengarnya adalah kawan sebelah yang tersenyum lebar sambil bertepuk tangan. Ewah-ewah. Eh, eh. Tepuk-tepuk. Lagu 'Hapus Ketuanan Melayu' mencapai top ten di kalangan peminat-peminat ini dan didendangkan di mana-mana sama ada di dalam atau di luar negara. Aduh . . .itu sahaja mampu diungkapkan.

TQ DEB?
Melayu yang marahkan Melayu ini sebenarnya sudah dihinggapi penyakit alpa. Mereka dihinggapi penyakit short memory. Mereka berada pada kedudukan lebih baik berbanding era sebelum kemerdekaan kerana dasar dicipta oleh bangsa Melayu untuk menolong Melayu. Cuba toleh sekejap ke negera jiran, apa sudah jadi Melayu di sana? Dasar Ekonomi Baru (DEB) digubal untuk menolong Melayu akibat daripada peristiwa 13 Mei 1969 apabila Melayu tertinggal dalam segenap bidang termasuk ekonomi dan pendidikan. Mendapat biasiswa menyambung pelajaran ke seberang laut sehingga kenal London, New York, dan Tokyo. Ada yang menjadi tokoh korporat, usahawan, menteri, wakil rakyat dan bla-bla. Bila sudah berada di menara kejayaan, individu-individu inilah yang menghentam DEB sebagai dasar kronisme dan kezaliman kepada kaum lain. Bahkan ada yang malu mengaku sebagai Melayu takut dikenali sebagai bangsa subsidi dan bertongkat dengan dasar-dasar asabiyyah. DEB dijadikan focal point tempat menghentam segala kekurangan, kezaliman dan kecurangan. Kita tidak nafikan DEB tidak berjaya sepenuhnya, tetapi bukanlah gagal seluruhnya. Apa salahnya para pejuang reformasi dan liberalisasi bersama-sama memperbaiki kelemahan dan ketirisan daripada mengorek segala kepincangan dan kelemahan.

Ciri  Aneh Melayu
Nah, kini kita lihat kelahiran satu generasi Melayu yang dihinggapi penyakit benci Melayu sebaliknya mahu menjadi insan politik liberal. Hasil observasi beberapa ciri baru Melayu pasca reformasi dikenalpasti: 1. Bersikap liberal dalam politik. Boleh menerima siapa sahaja menjadi ketua termasuk Menteri Perdana asalkan satu aliran dan satu ideologi. Sebagai langkah awal jawatan Timbalan Menteri Perdana dijanjikan kepada bukan Melayu ‘jika aku berkuasa’. 2. Biarkan non Muslim lintang pungkang mentafsir al-Quran dan hadis asalkan memihak kepada kita. Ini bukan sekali dua. Lain hulu lain parang –kalau dulu dulu wujud segelintir Melayu-Islam konservatif atau tradisionalist begitu sensitif dalam hal-hal agama dari diusik dengan begitu mudah. 3. Tidak sekali-kali bersatu sesama Melayu jika dilihat boleh menghalang cita-cita politik. Terasa selesa tidur sebantal dengan musuh sekalipun mimpi berlainan warna. 4. Bersikap terbuka dalam segenap hal hatta boleh mengenepikan seketika cita-cita asal perjuangan. Lupa seketika prinsip asas ukhuwwah dan cita-cita membina negara Islam. Sikap ini dijustifikasikan atas nama dakwah bil hal. 5. Sentiasa fobia dengan kumpulan atau organisasi yang berbeza pendapat dan pendekatan. Syak wasangka sentiasa bersarang di dalam kepala. Apa yang berlaku segalanya segala-galanya dianggap sebagai konspirasi. 6. Mempopularkan gelaran-gelaran yang manis dan menikam kalbu kepada insan tertentu. Maka muncullah gelaran 'Tuan Guru, Khalifah Umar Abdul Aziz dan Sang Anugerah Ilahi'. Jika ditubikan beribu kali anugerah demikian, maka ia akan bertugu di dalam kalbu si pengkagum insan -sekalipun gelaran-gelaran demikian berbeza sekali daripada realiti peribadi dan sejarah si pemakainya. Akhirnya tersemburlah generasi Pasca Reformasi yang aneh menggunakan segala kelebihan untuk mengumpat, memfitnah, mengorek-mengorek segala kelemahan dan disebarkan supaya diketahui semua insan. Mereka menjadi manusia fobia-konspirasi. Segala yang di luar jamaah atau organisasi ditakuti. Segala sesuatu, kejadian, peristiwa atau apa jua perkara diyakini konspirasi pihak musuh. Hasilnya, pada minda mereka terbukam empat hantu (idola) seperti yang disebut oleh Roger Bacon iaitu: idols of tribe, idols of cave, idols of market-place dan idols of theatre.

1 comment:

ABD MUN'EM DATO' HJ MAHMAD MUHTAR said...

Apakah makna Nasionalisme menurut Dr Burhanuddin al-Helmy? Sewaktu menjelang merdeka, semua parti Melayu melaungkan kemerdekaan atas semangat Nasional;isme Melayu..apakah orang Melayu kjini sudah menganggap bahawa perjuangan Nasionalisme Melayu sudah tidak relevan lagi memandangkan agenda pada hari ini ialah Islam yang syamil dan kamil..