Itulah ungkapan populist Islam yang tidak pernah padam dalam membicarakan politik Islam tanahair. Isu ini tidak pernah sirna dari pertikaian golongan tradisionalis Islam. Nasionalisme persepsi sebagai tidak Islamik kerana perkataan ‘nasional’ dikaitkan dengan kebangsaan. Kalimah kebangsaan disifatkan membawa elemen cintakan bangsa, asabiyyah, penindasan dan perkauman melebihi cintakan agama yang sepatutnya menjadi dokongan utama. Akhirnya difalasikan secara mudah nasionalisme Melayu adalah haram dan wajib dibelakangi. Seringkali dalam penghujahan pegangan, sabda Rasul dan logik akal dijadikan sandaran. Namun hasrat tersirat daripada momokan tersebut adalah, mana-mana parti yang diasaskan dengan semangat kebangsaan atau memperjuangkan kepentingan bangsa dikatakan parti asabiyyah yang wajib dijauhi. Bagi mengukuhkan dakwaan, maka dibawa keburukan dan kerapuhan semangat nasionalisme Barat dan kerakusan semangat nasionalisme di sesetengah negara Arab. Di tanahair tercinta, maka tersemburlah fatwa-fatwa dari mahaguru politik bahawa sesiapa jua yang mengundi parti beracuankan nasionalisme pengakhirannya adalah di Neraka. Akhirnya, ia berakartunjang ke dalam masyarakat sehingga menjadi satu fatwa politik yang digeruni untuk disanggah. Maka muncullah ubat depresi politik: “Ayuh berpalinglah kepada parti yang Islamik menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat, tinggalkanlah parti nasionalisme Melayu itu yang unIslamik!”.
Benarkan fahaman demikian? Sebenarnya hal ini telah diperjelaskan secara ditil oleh Allahyarham Dr. Burhanuddin Helmi melalui karyanya Falsafah Kebangsaan Melayu (1980). Antaranya beliau mengungkapkan: “Kita hendak mendirikan negara kebangsaan Melayu di atas dasar kebangsaan, menurut keadilan dan kemanusiaan yang luas sama berhak dan adil, bukan sekali-kali kebangsaan yang sempit, jauh, sejauh-jauhnya dari berbau perkauman dan perasaan yang kolot dan kuno”. Beliau langsung tidak menyempitkan Nasionalisme Melayu sebagai asabiyyah yang diharamkan. Pencinta ilmu pasti terkasima setelah meneliti kajian Ibn Khaldun melalui magnum opusnya Muqaddimah yang menyebut asabiyyah adalah elemen semulajadi yang ada dalam mana-mana bangsa yang telah disemaikan oleh Allah ke dalam diri manusia. Memang menjadi sikap semulajadi bangsa dunia mempunyai rasa bangga, rasa sayang dan rasa hebat dengan bangsanya sendiri.
DEB: Dasar Asabiyyah
Persoalannya: Adakah merangka dan melaksanakan dasar untuk menolong sesuatu kaum bernama Melayu dan beragama Islam bagi meningkatkan taraf hidup dan pemikiran mereka dianggap asabiyyah terlarang? Dalam konteks Malaysia, adakah pembentukan Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah polisi asabiyyah? Adakah parti yang menolong bangsa yang dalam kedaifan yang pada masa yang sama memanfaatkan kaum lain juga adalah parti yang asabiyyah? Terfikirkah sebahagian manusia bahawa ia sesungguhnya telah menepati kaedah saddu al-zarai’ yang bertujuan menghalang gejala murtad akibat dari kefakiran. Di negara-negara majoriti umat Islam, telah berlaku pembelian akidah akibat kefakiran harta yang akhirnya membawa kepada kefakiran iman. Jujurkah kita menghukum sesuatu sebagai asabiyyah dan bidaah semata-mata kerana kita menyarung jubah berlainan warna? Sudahkah kita menyelongkari sirah dan sikap Rasulullah terhadap bangsa Quraish? Rasulullah pernah meletakkan syarat bangsa Quraish sebagai salah satu syarat penting perlantikan pemimpin –adakah ini bermakna Rasulullah telah berfahaman nasionalis Arab? Rasulullah sendiri menyatakan bukanlah sesuatu yang asabiyyah jika sesuatu bangsa itu menolong bangsanya sehingga tidak menganiayai bangsa lain. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Dawud diungkapkan: “ Apa dia `asabiyyah? Sabda Baginda: bahawa kamu menolong kaum kamu atas dasar zalim”.
Rupabentuk Nasionalisme Melayu
Nasionalisme Melayu adalah unik. Ia adalah adunan antara jati diri Melayu yang bangga dengan kemelayuannya dengan unsur-unsur keislaman dalam diri individu. Sekuat mana semangat nasionalismenya, ia tidak mengkesampingkan jiwa dan jati diri Islamnya. Jika ia pergi jauh dengan semangat kemelayuaanya, ia akan kembali dengan baju akidah Islamnya. Hal ini dapat diperhatikan oleh penulis ketika meneliti diaspora minoriti Melayu termasuk di Cape Town, Sri Lanka dan Suriname. Dapatan umum menunjukkan bangsa Melayu tetap rasa hebat dengan identiti kemelayuannya pada masa yang sama beragama Islam. Perasaan nasionalisme Melayunya tidak diterjemahkan kepada tindakan terkutuk untuk berlaku zalim terhadap kaum lain. Islam adalah agama yang selamat untuk kaum lain. Dari aspek sejarahnya, mungkin kerana kengaman anatara Melayu dan Islam, maka Islam mudah berkembang di bumi Tanah Melayu.
Politik: Art of Spinning
Demi mencapai hasrat politik, ada sesetengah Melayu cuba menafikan realiti. Ada yang sanggup menikam Melayu, sebaliknya memberikan nyawa kepada kaum bukan sejenisnya demi survival politik jangka pendek. Apabila bersama-sama kaumnya, mereka mendakwa kamilah pejuang bangsa ini dan anda terus survived di bumi ini. Sebaliknya apabila berada dengan kaum lain, kami akan hapuskan dasar-dasar yang memihak kepada satu kaum termasuk kaum Melayu. Bahkan ada yang sanggup bersengkongkol dengan Badut Tua di sebuah Pulau Bersih yang mencanangkan darjah keIslaman Melayu dikurangkan ke tahap paling minimun supaya hanya mempraktikkan ritual Islam. Berfatwalah Sang Sunan bahawa pendapat tersebut adalah lebih mulia berbanding semangat nasionalisme Melayu. Di sini seharusnya, kumpulan massa mempunyai seni membezakan antara yang benar dengan yang batil. Mereka juga sewajarnya memiliki kemahiran perbandingan antara ulama hakiki dan ulama politik atau agamawan realiti dan agamawan politik. Antara perkongsian ciri yang terserlah pada ulamak politik dengan agamawan politik ialah kedua-duanya mempunyai kemahiran art of spinnning. Kemahiran ini biasanya digunakan untuk memutarbelitkan fakta atau ayat dan hadis bagi mencapai maksud politik. Walaupun kerap kali bertukar menjadi sesumpah, kata-kata mereka dipercayai sebagai benar. Namun harus diingat politik sesumpah hasil kemahiran art of spinning ini membawa implikasi mudarat kepada umat Melayu, Islam dan negara. Akibat putar belit, ia membawa padah perpecahan dan permusuhan antara Melayu yang akhirnya kemusnahan kepada negara. Kita pernah melihat rentetan siri perceraian dan perpecahan antara keluarga Islam yang berkiblatkan yang satu dengan peristiwa sembahyang dua imam, dua kuburan, pemulauan perkahwinan dan pengharaman sembelihan sebelum ini. Fenomena ini masih diiizinkan atas maslahat politik. Yang menghairankan, mereka menghulur tangan dan berdakapan dengan musuh Islam yang terang-terangan mengisytiharkan: “Cross my dead body” terlebih dahulu sebelum tersergam sebuah negara Islam. Mutakhir ini, sebahagian umat Islam seolah-olah menghadapi sindrom Islamic political hallucinations dengan mempercayai adanya Rukun Iman ketujuh iaitu berpegang kepada fahaman politik. ASL
2 comments:
Nasionalisme Melayu = Asabiah
Asabiah = Perkauman
Maka Nasionalisme Melayu adalah asabiah..
Di "link" kan bahawa asabiah adalah penghuni neraka.
Benarkah Nasionalisme Melayu = Asabiah?
Demi menegakkan "benang basah" maka TAFSIRAN terhadap hadis serta pandangan tokoh seperti Ibnu Khaldun disepadankan dengan aliran pemikiran mereka yang telah terbentuk dengan acuan yang ditempah.
Bolehkah kita samakan perselisihan ini dengan peristiwa Saidina Ali k.w. dan Muawiyah?
Semakin pening ummah..
ape maksud saudara ABD MUN'EM DATO' HJ MAHMAD MUHTAR dengan komen di atas??boleh saya dapatkan penjelasan?
Post a Comment