Popular Posts

Monday, February 28, 2011

GAGASAN SATU MALAYSIA: MANIFESTASI MASYARAKAT SIVIL MADINAH

Ada yang menganggap konsep 1Malaysia sebagai satu gagasan baru yang melanggar prinsip satu ummah dalam Islam. Ini kerana buat sekian lama kita diajar hanya ada satu konsep dalam Islam yang disyariatkan iaitu ‘Satu Ummah Satu Islam’.  Kepada golongan tradisionalis Islam, pengenalan gagasan ini seolah-olah mengiktiraf penganut agama lain ke dalam ruang lingkup satu ummah ini. Bagi golongan yang cenderung kepada nasionalis Melayu, gagasan 1Malaysia sebagai usaha secara halus menghakis ketuanan Melayu di negara Malaysia. Gagasan ini seolah-olah membuka ruang seluas-luasnya kepada semua bangsa tanpa mengira mereka pribumi atau sebaliknya.
Piagam Madinah

Dua pandangan ini perlu dirungkai bagi menghilangkan kekeliruan kalangan masyarakat. Tun Mahathir pernah menyebut gagasan 1Malaysia sebagai suatu gagasan yang kabur dan tidak difahami rakyat jelata. Jika diteliti menggunakan minda terbuka, gagasan 1Malaysia adalah manifestasi konsep satu ummah yang dituntut dalam Islam yang ditafsirkan dalam bentuk lebih luas dan kontemporari. Semasa mengasaskan negara Madinah, antara perkara asas yang dititikberatkan oleh Rasulullah ialah pembentukan satu negara bangsa (nation state) Madinah yang mengutamakan kesatuan rakyat dengan menghormati kepelbagaian agama dan bangsa. Piagam Madinah (Mithaq al-Madinah), mengiktiraf kewujudan dan peranan penganut agama Yahudi, Kristian dan Islam dalam sebuah negara baru. Antara hak yang diberikan dalam kontrak tersebut ialah kesemua warga mempunyai hak keselamatan, keadilan mendapat pembelaan dan kebebasan beragama selagi mana tidak mengancam keselamatan negara. Rasulullah saw. tidak memaksa penganut agama lain untuk memeluk Islam. Pemelukan penganut agama lain terhadap Islam adalah melalui kefahaman murni dan kerelaan diri terhasil daripada komunikasi yang baik dan proses sosialisasi yang memberikan teladan. Dalam Islam, iman yang dipaksa adalah dianggap terbatal atau tidak sah.

Rasulullah mengiktiraf kepelbagaan atau perbezaan sebagai satu nature manusia. Manusia tentunya berbeza dari aspek warna kulit, keturunan, anutan agama, latarbelakang pendidikan dan sebagainya. Perakuan ini dinyatakan Baginda ketika menyampaikan pada Khutbah Wida’ di Gunung Arafat. Rasulullah saw. mengisytiharkan tiada bangsa Arab lebih agung daripada bukan Arab, yang berkulit hitam ke atas kulit putih. Walaupun terdapat kepelbagaian aspek fizikal, budaya, latar belakang ekonomi, pendidikan dan sosial, Rasulullah saw. Menunjukkan teladan dalam sirahnya membentuk satu negara bangsa (nation state) di bawah Piagam Madinah tersebut. Ini bermakna Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib sedang berada dalam sunnah yang betul dalam mewujudkan satu ummah dalam sebuah negara berdasarkan peninggalan sunah yang dirintis Rasulullah saw. Pendekatan secara wasatiyyah (moderate) membina perpaduan sehingga boleh diterima oleh semua kaum dan penganut agama adalah pendekatan sebelumnya yang diterima oleh pelbagai penduduk Madinah atas jalan wasatiyyah ditunjukkan Peradna Menteri Madinah, Muhammad saw.

Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

Dalam gagasan 1Malaysia, slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan menjedi teras utama. Slogan yang menjadi praktis ini adalah selari dengan kehendak Islam yang sentiasa mengandingkan antara konsep niat dalam amalan dalam individu. Islam mengutamakan konsep perfect (kamil) dalam perlaksanaan amalan ataupun pencapaian. Oleh itu, dalam apa jua amalan dan akidah, terdapat penetapan Rukun tertentu dikenakan sebagai pra syarat aras sama ada sesuatu amalan atau kepercayaan sah atau sebaliknya. Sekiranya syarat tidak dipenuhi maka kualiti amalan dipertikaikan. Allah menyukai seseorang yang melakukan perbuatan yang dilaksanakan demi kecapaian yang sempurna. Konsep mengutamakan kualiti bukanlah sesuatu yang baru dalam Islam. Umat Islam sering diingatkan supaya melakukan amalan terbaik dan sempurna atau istilah semasa ‘kualiti’. Allah sendiri menjelaskan kerapian atau kesempurnaan dalam kejadian atau tindakan-Nya. Sebagai contoh dalam surah al-Naml ayat 88, firman Allah bermaksud: “Demikianlah perbuatan Allah yang telah membuat tiap-tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya”. Jika dirujuk kepada ayat ini, terdapat kalimah itqan yang bermaksud merancang dan menyusun sesuatu dengan baik sehingga terhasil produk atau output yang amat memuaskan. Allah akan memberikan ganjaran kepada mereka yang melakukan amalan terbaik. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Khaf ayat 30 yang bermaksud: “Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal salih, sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya”.

Namun dalam political spinning tuduhan dan tohmahan adalah menjadi lumrah dan asam garam kepada politikus atau para makmun politik yang tertutup mindanya. Perkara yang baik sekalipunpun boleh diputarbelit menjadi tidak baik. Warna yang biru boleh dikelabukan. Demikian yang terjadi kepada populariti 1Malaysia yang semakin mendapat tempat di hati rakyat. Pihak yang mempunyai kepentingan politik jangka panjang tentunya akan berusaha untuk mensirna populariti 1Malaysia. Tentu kita masih ingat bagaimana Dasar Pandang Ke Timur pada era Tun Mahathir Mohamad didakwa bertentangan dengan doktrin menghadap satu kiblah (Kaabah) di dalam Islam, manakala pengenalan Islam Hadhari pada era Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi dituduh sebagai pengenalan agama baru. Terkini gagasan 1Malaysia didakwa sebagai kompilasi secara halus pemerintah daripada konsep One Israel.

One Israel

Gagasan 1Malaysia sewajarnya dibezakan daripada konsep One Israel (Yisrael Ahat) yang dibentuk oleh Ehud Barak, pemimpin parti Buruh Israel dalam pilihanraya tahun 1999. One Israel mempunyai objektif untuk menjadikan parti Buruh (Labour Party) tersebut supaya lebih bersifat centrist dan mengurangkan sifat sekularnya bagi menarik sokongan pengundi. Selama ini, pada  kebanyakan persepsi Yahudi, parti Buruh dilihat bersifat elitist, berfahaman kiri dan didominasi oleh kalangan sekular Yahudi (Ashkenazi). Ia menjadi stigma kepada kebanyakan keturunan Yahudi dari Afrika Utara (Sephardi) dan kalangan agamawan Yahudi. Secara realitinya, One Israel adalah pengubahsuaian daripada idea Perdana Menteri Brirtish, Tony Blair yang melakukan transformasi terhadap parti Buruhnya kepada satu imej baru atas nama New Labour. Sebenarnya, konsep One Israel tersebut adalah satu transformasi penjenamaan semula parti Buruh dariapada dilihat begitu sekular kepada lebih bersifat keagamaan. Apabila unsur keagamaan diutamakan, sudah tentunya konsep bangsa Israel sebagai the Chosen People of God direalisasikan. Bangsa-bangsa lain selain daripada kaum Yahudi, dianggap sebagai hamba. Matlamat terakhir konsep ini adalah penubuhan negara Zionis yang mutlak, negara Yahudi untuk bangsa Yahudi.

Persoalannya, adakah proses, ciri dan matlamat yang ada pada One Israel menyamai dengan gagasan 1Malaysia? Adakah konsep 1Malaysia bertujuan menjadikan hanya bangsa Melayu sebagai bangsa pilihan Tuhan? Adakah bumi Malaysia hanya untuk bangsa Melayu? Adakah bangsa lain ternafi akan hak dan kerakyatan mereka? Adakah salah jika sesuatu gagasan yang murni yang mengutamakan rakyat dan pencapaian yang kamil dilaksanakan untuk kepentingan agama, bangsa dan negara? ASL.

No comments: